Cari Blog Ini

Selasa, 9 November 2010

Analisis Penamaan Watak Dalam Filem Nujum Pak Belalang

PENGENALAN

Istilah semantik berasal dari sepatah kata Yunani Kuno iaitu sema yang bermaksud ‘isyarat’. Seterusnya kata itu  menerbitkan kata semainein yang bermaksud ‘bererti’. Dari itu terbitlah istilah semantik yang menamai “satu bidang ilmu mengenai kaji atau analisa makna” (Abdullah Hassan, 1987: 224). Makna memainkan  peranan penting dalam pemakaian bahasa. Tanpa makna, suatu tutur itu tidak akan berguna (Abdullah Hassan, 1983: 146). Kajian terhadap makna ialah suatu usaha yang menarik dan kompleks kerana tiada siapa tahu secara tepat apakah makna itu (Engelkamp, 1998: 133). Dari itu, semantik adalah pusat pembelajaran tentang fikiran manusia iaitu proses berfikir, kognisi, konseptualisasi adalah saling berkaitan dalam mengklasifikasikan pengalaman melalui bahasa (Leech, 2003: 1).

Penamaan itu menurut Plato mempunyai hubungan rapat di antara nama dan benda. Namun begitu, persoalan yang ingin ditimbulkan oleh beliau ialah, adakah pemberian nama kepada benda itu berdasarkan kepada pemberian semata-mata atau perjanjian?. Juga, persoalan yang timbul termasuklah, adakah penamaan itu berdasarkan faktor individual atau menurut persetujuan masyarakat?. Merujuk hal tersebut, Plato telah merumuskan bahawa faktor penamaan itu sesuai dengan sifat acuan yang diberi nama.

Fokus utama dalam kajian ini ialah penamaan watak dan makna dengan merujuk cerita Nujum Pak Belalang. Seperti yang diketahui, watak-watak dalam cerita Nujum Pak Belalang ini terdiri daripada Belalang, Pak Belalang, Sultan Shahrul Nizam, Badan, Nyawa, Puteri Si Bujur Sirih, Buntal, Jambul dan banyak lagi. Daripada penamaan watak-watak tersebut tersebut banyak berkaitan dengan orang yang dirujuk. Ini termasuklah dari segi rupa, perangai dan segala perkara yang berkaitan dengan watak itu sendiri. Dalam kata lain, penamaan dari segi maknanya mencerminkan watak itu sendiri.



METODOLOGI

Kaedah ini memainkan peranan penting dalam menentukan kesahihan maklumat. Oleh itu, ia bergantung kepada matlamat dan tujuan pengkajian yang dijalankan (Jaludin Chuchu, 2008: 2). Kaedah kajian yang dilakukan dalam mengumpul dan mendapatkan data-data untuk dianalisis adalah melalui kajian perpustakaan dan kajian lapangan iaitu kaji selidik.

Kajian Perpustakaan

Kajian perpustakaan ini membolehkan pengumpulan data dengan merujuk kepada buku-buku khususnya semantik. Di sini, buku-buku rujukan tersebut digunakan bagi mencari pengenalan umum tentang semantik, penamaan, faktor-faktor penamaan, kaitan penamaan dengan teori segi tiga semiotik dan lain-lain.

Kajian Lapangan

Kaji selidik ini diedarkan secara rambang kepada seramai dua puluh satu orang iaitu terdiri daripada 8 orang mahasiswa dan 13 mahasiswi Universiti Brunei Darussalam. Selain itu, pengkaji juga menggunakan laman web ‘Facebook’ untuk tujuan penyelidikan dan seramai 5 orang telah memberikan respon terhadap soal selidik tersebut.

SEGI TIGA SEMIOTIK

Semantik ialah cabang linguistik yang mempelajari erti daripada kata, ayat, frasa dan erti tersebut dibentuk dan dihubungkan dengan idea, konsep perasaan dan bayangan fikiran (Darwis Harahap, 1994: 24). Ogden dan Richards (Pateda, 2001: 55-56) menerangkan tentang hubungan antara konsep, lambang dan referen seperti di bawah ini :


Konsep itu berupa bayangan, berupa pemahaman, berupa pengertian. Demikianlah kalau seseorang berkata meja, maka terbayanglah bentuknya, bahan meja, ukurannya, warnanya, tempat kakinya, tempat menyimpan barang. Konsep adalah pada minda seseorang dan ini termasuklah ciri-ciri pada satu perkataan atau ayat yang diutarakan.

Lambang adalah unsur bahasa yang bersifat arbitrer dan konvensional yang mewakili objek dan signifikasinya. Lambang termasuklah kata-kata, kalimat dan segala tanda-tanda. Lambang mempunyai beberapa ciri iaitu tanda, mengganti atau mewakili,berbentuk tulis atau lisan, mempunyai makna, aturan, mempunyai banyak kemungkinan kerana ketidakjelasannya, berkembang dan bertambah, individual, menilai, ada akibatnya, memperkenalkan. Sebagai kesimpulan, lambang bersifat abstrak dan bersifat abstrak.

Referen atau rujukan adalah sesuatu yang ditunjuk oleh tanda. Ia juga dipanggil sebagai objek, rujukan dan acuan. Referen dihubungkan dengan realiti, kenyataan atau eksistensi sesuatu. Tetapi ada juga referen yang tidak seperti diinformasikan. Sebagai contoh, pondok buruk yang dikatakan adalah sebenarnya rumah bertingkat seperti istana. Referen yang berhubungan dengan benda boleh saja mengacu pada bentuk konkrit dengan bentuk abstrak. Oleh itu, setiap lambang ada referennya. Maka dalam kajian ini, sebahagian watak dalam penamaan watak itu akan dihubungkaitkan dengan teori segi tiga semiotik iaitu pengkaji melihat watak daripada sudut fikiran atau konsep, simbol dan referen atau rujukan.



ANALISIS PENAMAAN WATAK

1.      BELALANG

Peranan Watak

Watak Belalang dalam filem Nujum Pak Belalang dilakonkan oleh Bat Latiff. Belalang dalam cerita ini adalah seorang budak yang berumur dalam lingkungan 10 tahun. Belalang merupakan anak kepada Pak Belalang. Belalang adalah seorang budak yang rajin mencari rezeki untuk mereka makan, seperti berkerja di kebun, mencuci, menyapu halaman, memanjat pokok kelapa dan mencuci perahu. Selain daripada itu, watak Belalang juga merupakan seorang budak yang cerdik. Antaranya apabila berjumpa dengan penyamun di tengah jalan, Belalang pandai menyembunyikan diri dan kemudian menbuat helah untuk menakutkan penyamun-penyamun tersebut. Belalang kemudian berjaya meyelamatkan dua ekor kambing dan lembu yang dicuri oleh penyamun. Selain itu, Belalang juga berjaya menyelamatkan bapanya daripada hukuman Sultan. Belalang berjaya mengetahui jawapan kepada teka-teki yang telah diajukan oleh Sultan Masai.


Ciri-ciri Penamaan

Nama bagi watak Belalang dalam cerita ‘Nujum Pa Belalang’ adalah berdasarkan sejenis binatang serangga yang dikenali sebagai Belalang.

Konsep atau fikiran bagi kata Belalang berdasarkan analisis teori segi tiga ialah seekor serangga  berwarna hijau atau coklat. Belalang mempunyai femur belakang yang panjang dan kuat serta kaki yang panjang bersesuaian dengan sifat atau cirinya sebagai binatang yang melompat. Belalang juga seekor binatang yang pintar menyembunyikan diri daripada pemangsanya. Berdasarkan warna dan bentuk belalang yang hampir sama seperti daun, memudahkannya menyembunyikan dirinya daripada pemangsanya. Belalang yang berwarna coklat pula boleh saja menyerupai seperti ranting apabila berhadapan dengan pemangsanya. Selain itu juga, belalang adalah binatang yang suka memakan serangga daripada sayur-sayuran atau daun-daunan.

Konsep ini kemudian mempunyai hubungan langsung dengan rujukan. Konsep tersebut merujuk kepada sejenis serangga iaitu Belalang.


Analisis:

Dalam penamaan bagi watak Belalang ini, konsep Belalang seperti di atas dengan konsep sebenar dalam penamaan watak tersebut tidak sama. Ini kerana konsep dalam penamaan adalah bersifat konotasi. Konotasi itu merupakan “makna emosi yang bersangkut-paut dengan perasaan” (Nathesan, 2001: 83).

Watak Belalang dalam filem ‘Nujum Pak Belalang’ bukanlah seekor binatang atau serangga, tetapi seorang budak lelaki. Penamaan watak Belalang ini dikaitkan dengan sifat atau konsep belalang iaitu binatang yang mempunyai femur belakang panjang dan kuat. Konsep ini melambangkan watak Belalang sebagai seorang yang rajin dan kuat walaupun masih seorang budak. Watak Belalang dalam cerita ‘Nujum Pak Belalang’ rajin mencari sumbar rezeki seperti berkerja di kebun, mencuci perahu dan naik pohon kelapa untuk menyara hidupnya dan ayahnya.

Selain itu, penamaan watak Belalang ini juga dikaitkan dengan konsep Belalang iaitu ‘melompat’ untuk melarikan dari daripada pemangsanya. Belalang (serangga) akan melompat apabila terasa diri terancam daripada musuh atau pemangsa. Dalam hal ini, watak Belalang dalam ‘Nujum Pak Belalang’ akan cuba mencari jalan atau helah melarikan diri daripada masalah yang dihadapi.  Misalnya apabila Sultan mencari ayahnya untuk menujum keberadaan harta Istana yang telah dicuri. Watak Belalang mencari helah untuk menyelamatkan ayahnya daripada dihukum oleh Sultan. Belalang memberi alasan bahawa ayahnya sedang bertapa di Sine Rama. Walhal sebenarnya ayahnya sedang melarikan diri dan bersembunyi di suatu tempat. 

Kemudian, penamaan watak Belalang ini juga diambil berdasarkan konsep belalang iaitu binatang yang pintar menyembunyikan diri daripada pemangsanya seperti  menyembunyikan diri pada tempat-tempat yang menyamai rupanya seperti daun. Watak Belalang dalam cerita ini juga pintar menyembunyikan dirinya seperti apabila berhadapan dengan dua orang penyamun, Belalang dengan pantas menyembunyikan dirinya di atas pokok bersesuaian dengan badannya yang masih kecil. Watak Belalang kemudian tidak dapat dikesan oleh penyamun-penyamun tersebut.

Kesimpulannya, penamaan watak Belalang dalam cerita ‘Nujum Pak Belalang’ ini diambil berdasarkan seekor serangga iaitu Belalang. Watak tersebut diberi nama Belalang berdasarkan kriteria yang ada pada belalang iaitu seekor binatang yang pintar melarikan diri apabila merasa dirinya terancam. Watak Belalang dalam cerita ‘Nujum Pak Belalang’ ini akan mencari helah untuk menyelasaikan sebarang masalah dan pandai menyembunyikan diri apabila berhadapan dengan penyamun. Ciri yang terakhir ini bersesuai dengan ciri belalang (serangga) iaitu seekor binatang yang boleh menyembunyikan diri pada tempat-tempat yang menyerupai seperti warnanya.



2.     PAK BELALANG 

Peranan watak

Pak Belalang adalah seorang yang miskin. Ia merupakan seorang ayah yang bersifat pemalas dan tidak  suka berusaha. Atas bantuan dan kebijaksanaan anaknya juga, nasib baik Pak Belalang selalu berpihak pada mereka. Pak Belalang boleh dikatakan seorang yang bijaksana namun ia juga merupakan seorang yang pengecut dan tidak jujur. Suatu hari, Pak Belalang menyamar sebagai ahli nujum yang pandai menilik sesuatu yang hilang. Ini bermula daripada masalah yang diadukan mengenai kehilangan lembu dan kambing milik orang kampongnya.  Anak Pak Belalang yang tahu akan keberadaan binatang-binatang tersebut telah memberitahu kepada ayahnya terlebih dahulu. Kemudian, nasib baik berpihak lagi setelah Pak Belalang dibawa ke istana bagi menilik keberadaan harta Sultan dan mahkota raja. Semasa cuba bersembunyi di sebuah gua, kebetulan harta kerajaan yang sedang dicari berada di sana.

Setelah itu, Pak Belalang dilantik sebagai Ahli Nujum Negara kerana jasanya mengembalikan harta milik Sultan yang dicuri. Pak Belalang jatuh cinta pada puteri Sultan dan secara rahsia mereka menjalinkan hubungan cinta. Namun begitu, setelah Sultan Masai datang ke negeri mereka, Sultan Masai mencabar kebijaksanaan Pak Belalang dengan mempertaruhkan negara. Atas bantuan anaknya Belalang juga, Pak Belalang berjaya menjawab semua teka teki yang diajukan. Sultan Masai tidak berpuas hati lalu berpakat dengan penyamun Negeri Beringin Rendang untuk  menculik puteri Sultan. Nasib baik memihak lagi dan Pak Belalang berjaya menilik keberadaan putrinya dan akhirnya Pak Belalang berkahwin denga puteri tersebut.


Analisis

            Dari yang demikian, penamaan bagi watak Pak Belalang ini dapat disimbolkan sebagai seorang bapa (bagi kata ‘pak’). Dalam hal ini, Pak Belalang ialah ayah kepada Belalang. Watak Pak Belalang dalam cerita ini adalah watak yang selalu bernasib baik dan berjaya lepas dari masalahnya. Ini dapat juga dibandingkan dengan belalang yang semamangnya mudah melepaskan diri dari masalahnya dengan menggunkaan kakinya yang panjang. Watak ini juga merupakan watak yang bijaksana dan ini dapat dilihat bagi belalang yang bijak merubah warna mengikut situasinya (sebahagian belalang tertentu). Dari itu, atas kebijaksanaannya dan nasib baik yang selalu menyebelahinya, Pak Belalang berjaya menjadi orang penting dalam istana sekaligus menjadi menantu raja. Oleh yang demikian, pernamaan bagi watak ini memang selaras dengan dialog lagu iaitu:

Tuk nujum yang terus mata bukannya betul semuanya auta”



3.      SULTAN SHAHRUL NIZAM IBNI AL-MARHUM SULTAN MALIK SHAH

Peranan Watak

Baginda adalah seorang Sultan yang memerintah Negeri Beringin Rendang. Mempunyai seorang permaisuri dan seorang puteri yang cantik yang sangat disayangi oleh Baginda daripada apapun. Baginda adalah seorang yang panas baran, penakut dan mudah mempercayai seseorang contohnya Baginda benar-benar mempercayai ahli Nujum Diraja. Akan tetapi, baginda juga mempunyai kriteria seorang pemimpin yang berwibawa iaitu sangat mengambil berat tentang hal ehwal rakyat Negeri Berinding Rendang.

Dalam filem Nujum Pak Belalang ini, istana baginda telah disamun oleh dua orang penyamun dan antara barang yang telah disamun ialah takhta baginda dan rantai puteri baginda. Seterusnya, baginda menawarkan ganjaran bagi sesiapa yang boleh mendapatkan balik harta baginda itu. Apabila Pak belalang berjaya, maka baginda terus melantik Pak Belalang sebagai Nujum Diraja.

Kemudian, semasa pemerintahannya, baginda didatangi oleh Sultan Masai. Kedatangan itu disambut baik oleh baginda Sultan Shahrul Nizam. Adapun kedatangan Raja Masai itu adalah kerana mendengar bahawa di Negeri Beringin Rendang terdapat seorang ahli Nujum yang bijaksana dan oleh yang demikian, Sultan Masai hendak menguji ahli nujum Diraja diantara kedua buah negeri itu. Pertaruhannya ialah siapa yang kalah akan kehilangan negeri kepada pemenang. Sultan Shahrul Nizam bersetuju sahaja kerana benar-benar percaya kepada kebolehan ahli Nujum Diraja. Pertaruhan ini berakhir dengan kemenangan dipihak Sultan Shahrul Nizam.

Akibat rasa tidak puas hati Raja Masai, baginda telah mengarahkan dua orang untuk menculik puteri Sultan Shahrul Nizam dengan tujuan untuk mengugut Sultan Shahrul Nizam supaya menyerahkan balik negerinya dan juga untuk dijadikan isteri. Walau bagaimanapun, Raja Masai dan rombongannya berjaya ditangkap dengan bantuan ahli Nujum iaitu Pak Belalang.


Penamaan Watak

Sultan adalah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud kekuatan, kuasa atau kedudukan pemerintah. Perkataan ‘Sultan’ digunakan oleh pemerintah-pemerintah Islam untuk menunjukkan kekuasaan mutlak sebagai pemerintah sesebuah negeri.

Oleh itu, maksud Sultan yang diterangkan diatas adalah sama seperti apa yang terkandung didalam cerita Nujum Pak Belalang iaitu Sultan Shahrul Nizam. Baginda adalah seorang pemerintah yang kaya, adil, dan berkuasa di Negeri Beringin Rendang. Baginda juga menjalankan peranan sebagai seorang pemerintah yang berwibawa iaitu dengan mengambil berat mengenai hal ehwal rakyat baginda disetiap pelusuk wilayah negerinya. Dalam hal ini, penamaan watak Sultan adalah bertepatan dengan maksud perkataan ‘Sultan’ itu sendiri dan sesuai wataknya dalam cerita ini.



4.      PUTERI SI BUJUR SIRIH

Peranan watak

Peranan Puteri Si Bujur Sirih dalam filem ‘Nujum Pak Belalang’ ini adalah merupakan puteri tunggal kepada Sultan Shahrul Nizam dan pemaisurinya. Tuan Puteri adalah seorang yang cantik jelita, bersifat lemah lembut dan terkenal dengan ketinggian sopan santunnya. Baginda menaruh hati dan meminati Pak Belalang dan akhirnya berkahwin dengan Pak Belalang setelah Pak Belalang menyelamatkan baginda daripada diculik oleh Sultan Masai, Badan, Nyawa dan pengikut-pengikutnya.


Ciri-ciri Penamaan

Kemungkinan masyarakat dahulu begitu mengagung-agungkan dauh sirih sehngga nama kerabat diraja diberikan penamaan yang sedemikian. Sirih begitu sinonim dengan adat istiadat dan kehidupan masyarakat Melayu dan India. Bagi masyarakat Melayu dahulu, daun sirih dikatakan bukan seperti daun biasa. Daunnya berbentuk agak bujur (bujur sirih).

Dari tradisi Melayu, sirih sebagai simbol penghormatan, seperti upacara penyambut tamu iaitu dijadikan sebagai pembuka bicara yang disua sejurus tetamu datang. Sirih menjadi lambang hormat yang mengalu-alukan tetamu. Selain daripada itu, masyarakat Melayu meletak sirih pada kedudukan yang tinggi iaitu sebagai pembuka acara meminang. Dikenali sebagai `sirih junjung'. Sirih juga digunapakai di dalam upacara pernikahan iaitu hantaran tapak sirih. Kegunaan sirih dalam adat perkahwinan mengandungi maksud tersirat.


Analisis

Penamaan Puteri Si Bujur Sirih itu dapat dilihat dari ciri yang khas. Hal ini dapat dilihat dari teori segitiga semiotik iaitu bagaimana hendak melihat kaitan di antara sirih dengan watak dalam filem Nujum Pak Belalang, iaitu melihat dari  konsep, simbol dan rujukan.

Konsep (sirih) berbentuk bujur, dianggap sesuatu yang dipandang tinggi di sisi msyarakat. Benda yang menjadi rujukan ialah daun sirih dan simbolnya ialah perkataan ‘sirih’ tersebut.

Dari apa yang dapat kita lihat di atas, segitiga semiotik itu hanya berkisar mengenai daun sirih tetapi kita dapat lihat dari segi konotasinya watak Puteri Si Bujur Sirih yang berperanan sebagai anak kepada Sultan iaitu lebih tinggi kedudukannya daripada  anak rakyat biasa dan melambangkan darjat yang paling atas dan paling mulia di sisi perspektif dan nilai rasa masyarakat Melayu pada waktu itu.



5.      BADAN DAN NYAWA

Peranan watak

Watak Badan dan Nyawa di dalam filem Nujum Pak Belalang berperanan sebagai perompak yang kerjanya mencuri di Negeri Beringin Rendang. Badan dan Nyawa mencuri lembu dan kambing milik Buntal dan Jambul namun dengan kebijaksanaan Belalang yang menyamar menjadi anak jin, binatang tersebut berjaya dikembalikan semula kepada tuannya. Kemudian, Badan dan Nyawa berpakat untuk merompak Istana Sultan Shahrul Nizam dan menyembunyikan harta Sultan di Gua Bukit Tunggal. Rancangan mereka untuk memiliki harta tersebut gagal kerana Pak Belalang yang kebetulan berada di dalam gua tersebut. Badan dan Nyawa menyangkakan Pak Belalang sebagai ‘penunggu gua’. Lalu, Badan dan Nyawa lari dan meninggalkan harta yang dicuri bersama Pak Belalang. Lantas Pak Belalang menghadap Sultan dan menyuruh Sultan pergi ke gua tersebut untuk mencari harta milik Sultan. Kemudian setelah kekalahan Sultan Masai di dalam pertaruhan kehebatan ahli nujum, Badan dan Nyawa berpakat dengan Sultan Masai untuk menculik Puteri Si Bujur Sirih. Namun rancangan mereka gagal kerana Puteri Si Bujur Sirih berjaya ditemukan semula disebabkan oleh kejayaan Pak Belalang menilik. Akhirnya, Badan dan Nyawa ditangkap dan dihukum pancung.


Ciri-ciri penamaan

i.                    Ciri-ciri badan

Badan merupakan anggota tubuh lahiriah yang merangkumi bahagian-bahagian tubuh badan seperti tangan, kaki, hidung, mulut, telinga dan sebagainya. Pada dasarnya, badan memerlukan nyawa untuk menjalankan fungsi semua anggota badan seperti melihat, berjalan, makan, mendengar dan sebagainya.

ii.                  Ciri-ciri nyawa

Nyawa merupakan sesuatu yang abstrak kerana nyawa bukan bersifat lahiriah. Seperti juga ciri-ciri badan, nyawa memerlukan badan untuk menghidupkan fungsinya.


Analisis

Pada dasarnya, Ogden dan Richards (Palmer,1992: 27), mereka berpendapat bahawa teori segi tiga semiotik itu “tidak terdapat hubungan langsung antara simbol dan perujuk (antara bahasa dan dunia) – kaitannya adalah melalui fikiran atau rujukan, iaitu konsep fikiran kita”

Oleh yang demikian, berdasarkan ciri-ciri di atas, kesinambungan antara badan dan nyawa boleh dikaitkan dengan watak ‘Badan’ dan ‘Nyawa’. ‘Badan’ dan ‘Nyawa’ dalam filem ini adalah watak yang sentiasa digandingkan bersama. Kedua-dua watak ini saling memerlukan dalam melakukan sesuatu pekerjaan khususnya merompak. Kemudian, watak Badan dan Nyawa ini juga menerima nasib yang sama apabila Sultan Shahrul Nizam menghukum pancung ke atas mereka berdua. Penamaan watak ini sejajar dengan apa yang dikatakan oleh Pak Belalang dalam dialog;

“Hai lah badan, matilah kau badan, besok pagi maka bercerailah badan dengan nyawa...”



6.      BUNTAL DAN JAMBU

Peranan Watak

Watak Buntal dan Jambul di dalam filem Nujum Pak Belalang berperanan sebagai orang kampung yang berkerja sebagai penternak di Negeri Beringin Rendang. Pada suatu hari Buntal dan Jambul telah kehilangan lembu dan kambing mereka. Akan tetapi binatang ternakan Buntal dan Jambul ditemui oleh Belalang ketika Belalang menuju perjalanan pulang ke rumahnya dan menyamar sebagai anak jin. Setelah berjaya menakutkan perompak, Belalang pun membawa binatang tersebut pulang dan menceritakan hal yang terjadi kepada ayahnya. Kemudian Belalang pun mengemukakan ideanya supaya ayahnya menyamar menjadi ahli nujum. Orang kampung yang pada masa itu riuh dengan kehilangan binatang ternakan Buntal dan Jambul pun pergi ke rumah penghulu untuk mengadukan perkara tersebut. Belalang yang berada dengan orang kampung memberitahu agar Buntal dan Jambul pergi berjumpa ayahnya untuk di tilik. Di rumah Pak Belalang pula bersedia akan kedatangan orang kampung yang ingin mengetahui keberadaan lembu dan kambing Buntal dan Jambul. Akhirnya binatang-binatang ternakan Buntal dan Jambul pun berjaya dikembalikan semula.


Ciri-ciri penamaan

i.                    Ciri-ciri Buntal

Buntal merupakan kata adjektif yang merangkumi bentuk-bentuk geometri seperti bulat, bujur dan yang seumpamanya. Pada dasarnya, watak Buntal merupakan pasangan kepada watak Jambul untuk memainkan peranan watak dan menhidupkan fungsi di dalam filem ini.

ii.                  Ciri-ciri Jambul

Jambul pula merupakan kata sifat yang bererti segumpal rambut sama ada di kepala atau dahi. Dalam hal ini, ciri-ciri watak Jambul dalam filem ini tidak digambarkkan seperti maksud ‘jambul’ yang sebenar. Akan tetapi, ciri-ciri watak Jambul adalah kurus dan tinggi.


Analisis

Dalam hal ini, berdasarkan ciri-ciri yang telah diterangkan di atas menunjukkan adanya kesinambungan antara watak Buntal dan Jambul yang juga boleh dikaitkan dengan watak ‘Badan’ dan ‘Nyawa’. Oleh itu dapat di lihat bahawa watak Buntal dan Jambul dalam filem ini adalah dua watak yang digandingkan bersama untuk memperlihatkan perbezaan ciri-ciri watak tersebut. Kedua-dua watak ini berperanan sebagai orang kampung yang menternak haiwan.

Ringkasnya, penamaan watak yang diberikan di dalam filem Nujum Pak Belalang ini bersesuaian dengan aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat dahulu kala.



DAPATAN SOAL SELIDIK

Dari soal selidik yang dilakukan menunjukkan bahawa semua responden pernah menonton filem ‘Nujum Pak Belalang’ yang dilakonkan oleh P. Ramlee. Manakala, hampir keseluruhan responden (95%) bersetuju bahawa penamaan bagi watak dan perwatakan dalam filem ‘Nujum Pak Belalang’ itu mempunyai kaitan iaitu simbolik terhadap sifat watak dan hanya (5%) sahaja yang tidak bersetuju. Responden yang tidak bersetuju berpendapat bahawa kerana Belalang hanyalah seekor serengga yang pada simboliknya tidak pintar dan cergas. Manakala, bagi responden yang bersetuju, mereka menyatakan bahawa watak menggambarkan metafora dan simbolik kepada masyarakat, dan setiap watak memainkan peranan dalam menyampaikan unsur sindiran yang tersirat. Selain itu, penamaan watak di dalam filem juga mempunyai perwatakannya yang tersendiri mengikut watak di dalam filem. Sebagai contoh, watak Belalang mempunyai perwatakan yang lincah dan kecil tetapi memepunyai kepintaran. Oleh itu, sesuatu perkara itu janganlah dinilai daripada luarannya tanpa mengetahui apa yang tersimpan didalamnya. Ini juga boleh dilihat pada watak Badan dan Nyawa yang sentiasa bersama-sama walaupun dalam kesenangan mahupun kesusahan.

Dalam soalan seterusnya iaitu mengenai mesej di sebalik penamaan watak dan perwatakan di dalam filem ‘Nujum Pak Belalang’. Rata-rata responden bersetuju bahawa mesej adalah berupa sindiran kepada masyarakat Melayu, memberi pengajaran, berbentuk humor dan juga ada menunjukkan kepintaran tentang kepintaran masyarakat Melayu dalam berfikir.



KESIMPULAN

Oleh itu, dari apa yang telah diterangkan di atas dapatlah dirumuskan di sini bahawa watak-watak yang terdapat di dalam filem ‘Nujum Pak Belalang’ antaranya ialah Pak Belalang, Belalang, Puteri Si Bujur Sirih, Sultan Shahrul Nizam, Buntal, Jambul, Badan dan Nyawa itu merupakan penamaan yang berasal daripada penyebutan sifat khas. Jaludin Chuchu (2010: 45) menyatakan bahawa penyebutan sifat khas itu adalah “merupakan peristiwa semantik kerana dalam peristiwa itu terjadi transposisi makna dalam pemakaian iaitu perubahan dari kata sifat menjadi kata benda”. Maka, dirumuskan juga bahawa setiap penamaan watak-watak itu mengikut nilai rasa masyarakat. Ini sejajar dengan pendapat Slametmuljana (1965: 69) iaitu “nilai rasa bersifat sangat subjektif, ditetapkan oleh masyarakat pemakai bahasa, terikat pada waktu dan tempat”.


Sila ikuti pautan ini untuk sinopsis filem Nujum Pak Belalang


RUJUKAN:
Abdullah Hassan. (1987). Linguistik Am untuk Guru Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn Bhd.
Abdullah Hassan.(1983). Rencana Linguistik.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan   Pustaka.
Asmah Hj Omar.  (2001). Kaedah Lapangan Bahasa di Lapangan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Darwis Harahap. (1994). Binaan Makna. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Engelkamp, Johannes. (1998). Makna Perkataan, Imejan dan Tindakan. Dlm. Maxim Stamenov. Perkembangan Semasa Teori Semantik, hlm. 133-147. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jaludin Chuchu. (2008). Semantik dan Pengajaran Bahasa. Brunei:Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jaludin Chuchu. (2010). Menyelusuri Makna. Brunei: Universiti Brunei Darussalam.
Leech, Geoffrey. (2003). Semantik. Terj. Paina Partana. Yogyakarta: Pustaka Pelajar.
Mansoer Pateda. (2001). Semantik Leksikal. Jakarta: Penerbit Rineka Cipta.
Nathesan, S. (2001). Makna dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nujum Pa’ Belalang. (1959). Filem Cereka. Malay Film Productions Ltd.
Nujum Pak Belalang. (2010). Video. t.tp : tpt.
Palmer, F.R. (1989). Semantik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Palmer, F.R. (1989). Semantics (2nd Ed.). London: Cambridge University Press.
Slamermuljana. (1965). Semantik. Kuala Lumpur: Oxford University Press.